OGOS 31 — Hari Merdeka tahun ini agak mengejutkan buat saya, kerana saya dipanggil bacul!
Tiba-tiba saya rasa terperangkap dan terpaksa mengikut kelompok-kelompok tertentu.
Dalam minggu-minggu menjelang 31 Ogos tahun ini banyak sekali kita terdengar seruan-seruan supaya orang Melayu "membuat sesuatu" terhadap masyarakat minoriti dalam negara ini yang semakin "melampau."
Antara yang membuat seruan ini adalah orang yang duduk dalam lembaga-lembaga pengarah beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, yang tiba-tiba menggunakan ungkapan "kita orang Melayu" dan berpesan kepada saya supaya "jangan bacul."Tiba-tiba sahaja, rupa-rupanya saya mempunyai pertalian dengan orang-orang ini.
Baru-baru ini juga saya diberi amaran oleh sekumpulan anak muda yang mendakwa mewakili semua orang Melayu, bahawa saya akan terpinggir di negeri Selangor.
Katanya, arak akan berleluasa.
Babi juga akan dijual merata-rata.
Dan saya sekali lagi diberitahu sebagai orang Melayu, saya perlu bangkit bersama-sama.
Terperanjat lagi saya, kerana mereka ini beria-ia hendak mengajak saya menjadi sebahagian daripada mereka.
Saya agak segan untuk ikut mereka, kerana melihat ramai dari mereka yang perut buncit tetapi memakai kemeja putih!
Saya percaya orang yang mempunyai masalah berat badan seharusnya memakai pakaian gelap supaya bentuk badan kelihatan menarik. Itulah yang saya belajar mengenai ilusi optik di sekolah dulu.
Dan ramai juga yang memakai cincin dengan batu sebesar ibu jari. Saya rasa tidak "cool" untuk ikut kumpulan bercincin besar ini.
Dan baru minggu lepas, ada lagi satu kumpulan yang membantah konsert Michael Learns To Rock di Genting Highlands.
Kelompok anti konsert ini juga menganggap kepercayaan saya dalam bahaya, kerana acara itu diadakan dalam bulan Ramadan.
Ini betul-betul perbuatan yang memalukan saya, kerana belum pun konsert itu dipromosikan mereka menganggap saya mahu menonton Michael Learns To Rock!
Dengan sukanya mereka bercakap bagi pihak saya, tentang bahaya konsert tersebut.
Sebelum itu ada pula kelompok yang marahkan dengan kedai runcit 24 jam kerana menjual beer.
Kelompok yang marah benar dengan kedai 24 jam ini juga berbuat demikian untuk melindungi saya.
Mereka percaya yang saya akan bangun pada pukul 2 atau 3 pagi dan pergi ke kedai-kedai ini untuk membeli beer.
Namun kejutan-kejutan yang menarik saya ke dalam perangkap kesukuan ini tidak berakhir di situ.
Beberapa hari sebelum Hari Merdeka datang lagi kelompok yang kononnya mewakili saya juga mengarak kepala lembu di Shah Alam.
Khabarnya, mereka membantah pembinaan sebuah kuil di kawasan perumahan mereka dan mahu saya juga berasa marah.
Saya tidak pernah tahu bahawa orang Melayu menunjukkan rasa marah dengan memijak-mijak kepala lembu.
Setahu saya, mengikut cerita orang-orang tua, kepala lembu adalah antara bahagian badan haiwan itu yang paling berharga dan kalau di kampung-kampung, bila lembu disembelih, mereka yang paling banyak bekerja dalam melapah lembu atau yang paling dihormati masyarakat akan mengambil kepala itu.
Maka saya menanti Hari Merdeka tahun ini dengan mendengar orang memanggil saya bacul, memberi amaran kononnya saya ditindas, yang bergaduh dengan kedai 24 jam, yang anti konsert dan juga mereka yang membuang kepala lembu.
Harapan saya, Hari Merdeka ini, saya mahu merdeka dari mereka!
No comments:
Post a Comment